SEORANG bekas pemandu bas ekspres dan teman wanitanya yang video mereka tular menerusi aksi meriba dalam bas Ahad lalu dihukum penjara dan denda masing-masing RM5,000, oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini.
Arif Fahmi Abd Salam, 36, dijatuhi hukuman penjara setahun manakala Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dihukum penjara enam bulan selain masing-masing didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.
Kedua-dua mereka membuat pengakuan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mahkamah turut mengarahkan pasangan itu dikenakan tambahan penjara selama dua bulan jika gagal bayar denda selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama dituduh memandu kenderaan bas nombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, daerah Jasin pada jam 7.30 petang pada 12 April lalu.


