Bekas Timbalan Pengurus TH Properties didakwa pecah amanah RM14,000

BEKAS Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, didakwa bersubahat melakukan pecah amanah membabitkan kutipan penalti RM14,000 daripada kontraktor bagi projek pembinaan bangunan komersial milik Lembaga Tabung Haji (TH).

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd, Mohamad Hashim Mukhatap, 53, melakukan pecah amanah dengan memasukkan RM14,000 ke dalam akaun bank milik Mohamad Hashim.

Wang berkenaan didakwa hasil kutipan penalti terhadap kontraktor, Kelpile Sdn Bhd, bagi projek cadangan membina dan menyiapkan bangunan komersial 22 tingkat yang merangkumi 244 pangsapuri perkhidmatan, empat pangsapuri eksklusif, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, aras bawah tanah tambahan serta kemudahan berkaitan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sofea Residensi, Seksyen 12, di sini, antara 15 November 2017 dan 8 Ogos 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, TH Properties ialah anak syarikat TH, manakala THP Timur Sdn Bhd pula anak syarikat TH Properties.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Abd Moin.

Fahmi memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya kini bekerja sendiri berpendapatan RM5,000 sebulan, selain perlu menyara enam anak serta mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here