Exco NS masih sah, jalan tugas seperti biasa – Ismail

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim menegaskan,  tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS.

‘’Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

‘’Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Berikut kenyataan penuh Ismail: 

Saya ingin memberikan penjelasan rasmi berhubung tafsiran perundangan dan sempadan kuasa eksekutif di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya yang melibatkan kedudukan serta tempoh perjawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (“Exco”).

Secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat YAB Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagi mengelakkan sebarang kekhilafan tafsiran, implikasi perundangan berhubung perkara ini wajib diteliti secara harmoni dan menyeluruh seperti berikut:

Prinsip Kuasa Atas Nasihat : Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.

  1. Had Kuasa Budi Bicara : Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini.

  1. Keterikatan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 dengan Nasihat Menteri Besar : Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang Exco di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan.

la wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1). Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan Exco semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar.

Oleh yang demikian, ditegaskan bahawa mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang Exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.

Adalah ditegaskan bahawa YAB Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.

Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here