SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan orang awam mengenai sebuah video tular di media sosial berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027, yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan.
Kata MCMC, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara, mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, Suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menilai kandungan video tersebut, termasuk konteks penyebaran dan potensi kesannya terhadap masyarakat.
‘’Tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],’’ kata MCMC.
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
MCMC menggesa orang ramai supaya menyemak sebarang maklumat berkaitan Belanjawan 2027 melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, www.sebenarnya.my, chatbot AIFA melalui WhatsApp di 03-8688 7997, serta saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan sebelum mempercayai atau menyebarkannya.





