Bil elektrik tinggi: Kerajaan perlu proaktif bantu ringankan beban rakyat

PEMUDA  Pas Selangor merayu Kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta semua agensi berkaitan untuk mendengar rintihan, keluhan dan keresahan rakyat berhubung dengan isu bil elektrik yang tinggi dan meresahkan ketika ini.

Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata,  Pemuda Pas Selangor mengambil maklum mengenai kos bahan api global, penjanaan, penghantaran, pengagihan, operasi sistem yang semakin mencabar akibat tekanan krisis dunia.

‘’Namun, cabaran ini tidak bermaksud pihak-pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan tidak perlu untuk mengambil tindakan proaktif dan di luar kebiasaan untuk membantu rakyat Malaysia yang sedang terkesan dan terhimpit dengan bil elektrik melambung di samping tekanan kitaran kos sara hidup yang sedang mengganas,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hampir keseluruhan  rumah rakyat Malaysia menggunakan tenaga elektrik dan sekiranya isu ini tidak diambil cakna serta tidak diurus secara berkesan oleh kerajaan, rakyat akan terbeban.

‘’Isu ini adalah isu kritikal dan mesti menjadi fokus kerajaan untuk duduk bersama agensi dan pihak terkait agar kebajikan dan kepentingan rakyat dapat dibela.

‘’Antara perkara utama yang rakyat mahu lihat ialah kesungguhan pihak-pihak yang bertanggungjawab berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, golongan maha kaya yang mengambil untung dalam industri ini dapat mengecilkan saiz keuntungan mereka serta polisi dan dasar yang lebih kreatif tanpa membebankan rakyat,’’ katanya.

Muhammad Faizzuddin berkata, Pemuda Pas Selangor juga berharap agar kerajaan dapat memastikan sistem bekalan elektrik negara dapat diurus dengan lebih cekap.

‘’Memastikan setiap ringgit dalam kos ditanggung oleh rakyat adalah benar-benar amat munasabah dan kepentingan rakyat diutamakan berbanding kepentingan industri atau mana-mana kapitalis dunia yang sedang mengambil keuntungan di atas sumber tenaga negara kita,’’ tegasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here