DESAKAN Barisan Nasional (BN) supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dilihat mempunyai asas berikutan momentum positif gabungan itu bersama Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.
Bagaimanapun, langkah mengadakan PRU-16 dalam masa terdekat tidak memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH), sekali gus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu terburu-buru memenuhi desakan berkenaan.
Pakar geostrategis dan penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, desakan BN itu boleh difahami kerana keputusan pilihan raya di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan terbaharu Melaka menunjukkan penerimaan pengundi yang positif terhadap kerjasama BN-PN.

“Desakan supaya Parlimen dibubarkan itu memang difahami kerana momentum bukan sahaja di Johor, malah di Sabah, Negeri Sembilan dan terkini Melaka turut memberikan keputusan positif terhadap penerimaan pengundi terhadap kerjasama BN dan PN.
“Sebab itu mereka mendesak Datuk Seri Anwar supaya membubarkan Parlimen secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi berbeza dihadapi PH yang masih perlu menyelesaikan beberapa kemelut dalaman sebelum mempertimbangkan untuk menghadapi PRU-16.
Menurutnya, keputusan beberapa PRN sebelum ini menunjukkan PH belum berada pada kedudukan terbaik untuk menghadapi pilihan raya umum, selain perlu memperkukuh hubungan antara parti komponennya.
“Masalah dalaman PH perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk hubungan antara DAP dengan PKR, manakala Amanah juga mempunyai masalah tersendiri.
“Selepas semua itu diselesaikan, PH perlu memikirkan strategi dan bentuk kerjasama yang sesuai kerana jika bergerak secara bersendirian, ia mungkin tidak memberikan keputusan yang baik selepas PRU nanti,” katanya.
Azmi berkata, PH juga perlu menilai semula pilihan rakan kerjasama politiknya dan tidak boleh terlalu bergantung kepada satu-satu parti bagi memastikan kedudukan gabungan itu lebih kukuh menjelang PRU-16.
Katanya, kegagalan Bersatu membuktikan kemampuan memberikan manfaat kepada PH selepas PRN Melaka turut menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian parti itu sebagai rakan kerjasama politik.
Sehubungan itu, beliau berpandangan PH perlu mempertimbangkan secara serius bentuk kerjasama yang boleh dibentuk, sama ada meneruskan kerjasama sedia ada atau mencari pendekatan baharu membabitkan BN mahupun PN.
“Selagi BN dan PN bekerjasama, jika dilihat kepada keputusan PRN akan datang termasuk di Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang, kerjasama ini berkemungkinan memberikan kelebihan kepada mereka.
“Malah, besar kemungkinan kerjasama BN dan PN itu turut diteruskan pada PRU-16 nanti,” katanya.
Beliau berkata, desakan supaya Parlimen dibubarkan berkemungkinan menjadi lebih kuat selepas PRN Sarawak, bergantung kepada keputusan dan momentum politik yang dicapai BN-PN.
Bagaimanapun, katanya, Anwar tidak perlu mengikut rentak desakan BN dan PN kerana pembubaran Parlimen dalam keadaan sekarang tidak memberikan sebarang kelebihan politik kepada PH.
“Desakan itu memang ada dan kuat daripada BN, mungkin selepas Sarawak nanti desakan itu akan menjadi lebih kuat.
“Tetapi sekarang bukan masa untuk Perdana Menteri membubarkan Parlimen kerana langkah itu tidak memberikan manfaat kepada PH,” katanya.





