Malaysia-Vietnam perkukuh kerjasama pertahanan, fokus AI dan risikan

MALAYSIA dan Vietnam memperkukuh kerjasama pertahanan dengan memberi tumpuan kepada bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), perkongsian risikan dan kesedaran domain maritim (maritime domain awareness).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Vietnam, Jeneral Phan Văn Giang sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara itu.

Menurut beliau, Malaysia turut mencadangkan supaya mekanisme kerjasama diperkasakan menerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi memastikan setiap inisiatif dapat diselaras dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pelbagai bidang kerjasama dibincangkan, termasuk latihan ketenteraan dua hala, perkongsian risikan, kesedaran domain maritim, operasi menyelamat kapal selam, kecerdasan buatan (AI), industri pertahanan serta usaha menghadapi cabaran keselamatan baharu, seperti aktiviti ‘zon kelabu’.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai perkembangan strategik serantau termasuk Laut China Selatan.

“Malaysia menegaskan keamanan dan kestabilan perlu terus dipelihara melalui dialog, diplomasi dan undang-undang antarabangsa, di samping menyokong pemuktamadan Code of Conduct (COC) yang efektif dan bermakna,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau memberitahu, Malaysia menegaskan ASEAN perlu terus bersatu dan mempunyai pendirian strategik sendiri dalam menghadapi cabaran keselamatan, selain kekal memainkan peranan penting dalam menjamin keamanan serta kestabilan rantau.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menghargai keterbukaan Jeneral Phan menerima cadangan yang dikemukakan Malaysia serta komitmen Vietnam untuk memperkukuh hubungan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Saya yakin komitmen bersama ini akan terus memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam, sekali gus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran ASEAN,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img