SEMUA hasil haram daripada kegiatan rasuah dan ketirisan di negara ini sekiranya berjaya diperoleh semula, boleh digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur asas berskala besar untuk rakyat.
Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Borneo, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah berkata, dana yang diperoleh semula itu mampu membiayai pembinaan sekurang-kurangnya dua hospital awam di setiap negeri, serta 20 hingga 50 sekolah yang lebih berkualiti di seluruh negara.
“Menerusi dana itu, kita boleh menyediakan kemudahan terbaik, melengkapkan peralatan sekolah serta menyediakan latihan yang lebih baik kepada guru bagi meningkatkan sistem pendidikan Malaysia ke tahap bertaraf dunia.
“Sistem pendidikan yang unggul bukan sahaja dapat menghasilkan modal insan cemerlang, malah turut melahirkan anggota keselamatan dan atlet negara yang jauh lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bertajuk The Life, Conscience and Costs of the Principled pada Persidangan Wisdom Malaysia 2026 kali kedua di ibu negara hari ini.
Syed Ahmad Idid berkata, kegagalan melindungi integriti dan keberanian pemberi maklumat boleh mewujudkan ketakutan dalam kalangan pegawai yang jujur, sekali gus menyebabkan mereka tidak berani tampil bersuara terhadap salah guna kuasa.
Menurutnya, tindakan menindas dan menakut-nakutkan pemberi maklumat, berbanding menjalankan siasatan dakwaan rasuah hanya akan mendedahkan sesebuah negara itu kepada risiko skandal kewangan dan jenayah yang lebih besar pada masa akan datang.
“Apabila anda menghalang pemberi maklumat, anda sebenarnya memastikan tiada lagi individu yang jujur dalam organisasi, yang akan berani bersuara apabila jenayah berlaku.
“Tindakan mendedahkan salah laku bukanlah satu bentuk fitnah. Ia satu tindakan wajar yang bertujuan menghentikan rasuah dan menyelesaikan masalah yang menjadi ancaman di tempat kerja,” tambah beliau.
Syed Ahmad Idid turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memberikan tafsiran yang berat sebelah atau terlalu remeh terhadap amalan rasuah, sebaliknya menyeru masyarakat supaya menegakkan prinsip keadilan dan integriti bagi melindungi masa hadapan negara.
Dianjurkan oleh Kerjaya One PLT, persidangan itu menjadi platform kepada tokoh industri semasa dan yang terdahulu untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta pandangan dengan para pemimpin dan golongan profesional.






