Operasi cari kanak-kanak perempuan jatuh longkang diperluas

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri hanyut di Bandar Mahkota Cheras, diperluaskan sehingga kira-kira lima kilometer meliputi laluan Sungai Long hingga ke muara Sungai Langat.

Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Pegawai Kanan Bomba I Wan Syariman Wan Saleh berkata, perluasan radius itu dibuat susulan pemeriksaan di kawasan yang telah dilakukan berulang kali, namun masih belum menemukan sebarang petunjuk.

“Setakat tengah hari tadi laluan sempit seperti culvert telah dilalui beberapa kali dan setakat ini kawasan itu didapati clear,” katanya.

Wan Syariman berkata, pencarian seterusnya digerakkan dari Jambatan Taman Rakan ke lokasi mangsa dipercayai jatuh.

“Seterusnya, operasi pencarian akan dilaksanakan sekali lagi secara sweeping, bermula dari jambatan menghala ke lokasi mangsa dipercayai jatuh, sebelum diteruskan ke muara Sungai Langat.

“Jarak dari lokasi semasa ke lokasi mangsa jatuh dianggarkan kira-kira 2.6 kilometer, manakala ke muara Sungai Langat pula sekitar 2.2 kilometer,” jelasnya.

Dalam masa sama, bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil digerakkan bagi pencarian awal di kawasan Sungai Langat sebagai langkah berjaga-jaga.

Operasi yang bersambung petang ini, melibatkan pelbagai agensi termasuk JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia turut dibantu dengan penggunaan dron bawah air serta pemantauan aliran sungai oleh agensi berkaitan.

Mengulas cabaran dihadapi, beliau berkata, struktur sungai jenis monsoon drain, laluan sempit dan tebing tinggi menyukarkan akses pasukan penyelamat.

Operasi dijangka diteruskan sehingga malam, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Media semalam melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas, selepas terjatuh ke dalam longkang untuk mengambil bola yang terjatuh, sebelum dihanyutkan arus deras.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img