Puluhan ribu rakyat Palestin berpusu-pusu pulang ke kawasan utara Gaza yang musnah teruk pada Jumaat selepas gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat berkuat kuasa.
Perjanjian itu menimbulkan harapan baharu untuk menamatkan perang Israel-Hamas, dengan semua baki tebusan yang masih ditahan dijangka akan dibebaskan dalam beberapa hari.
Namun, persoalan masih timbul mengenai siapa yang akan mentadbir Gaza apabila tentera Israel berundur secara berperingkat, dan sama ada Hamas akan melucutkan senjata seperti yang dikehendaki dalam pelan gencatan senjata Presiden AS Donald Trump.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang sebelum ini menamatkan gencatan senjata secara unilateral pada bulan Mac, memberi bayangan bahawa Israel mungkin menyambung semula serangan jika Hamas enggan menyerahkan senjata.
Gencatan senjata terbaharu ini menandakan langkah penting ke arah menamatkan perang selama dua tahun yang menghancurkan wilayah itu, yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada tahun 2023.
Pertempuran telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan memaksa kira-kira 90 peratus daripada dua juta penduduk Gaza berpindah — ramai antara mereka beberapa kali. Ramai yang kini pulang hanya untuk mendapati runtuhan di tapak kediaman mereka dahulu.
Tentera Israel mengesahkan bermulanya gencatan senjata pada Jumaat, dengan baki 48 tebusan — kira-kira 20 daripadanya dipercayai masih hidup — dijangka dibebaskan selewat-lewatnya Isnin.
Penduduk Gaza berkata pengeboman berat di beberapa kawasan pada awal Jumaat berhenti selepas pengumuman ketenteraan itu.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung pada Jumaat, Netanyahu berkata fasa seterusnya ialah memastikan Hamas melucutkan senjata dan Gaza dinyahmilitarisasikan.
“Jika ini dapat dicapai dengan cara mudah… baik. Jika tidak, ia akan dicapai dengan cara yang sukar,” katanya. Netanyahu menambah bahawa Hamas hanya bersetuju dengan perjanjian itu “apabila mereka merasakan pedang di leher mereka dan pedang itu masih di leher mereka.”
Tentera Israel berkata ia akan terus beroperasi secara pertahanan dari kira-kira 50 peratus kawasan Gaza yang masih berada di bawah kawalannya selepas berundur ke garisan yang dipersetujui.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat kebenaran daripada Israel untuk mula menghantar bantuan ke Gaza bermula Ahad, menurut seorang pegawai PBB yang enggan dinamakan. Bantuan itu termasuk 170,000 tan metrik barangan yang telah disediakan di negara jiran seperti Jordan dan Mesir sementara menunggu kebenaran untuk disalurkan semula.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, PBB dan rakan-rakan kemanusiaannya hanya mampu menyalurkan sekitar 20 peratus daripada jumlah bantuan yang diperlukan di Semenanjung Gaza, kata Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher.
Sementara itu aliran manusia yang berterusan kebanyakannya berjalan kaki memenuhi jalan pesisir di tengah Gaza menuju ke utara untuk melihat keadaan rumah masing-masing. Suasana itu mengingatkan kembali kepada gencatan senjata terdahulu pada Januari. Ada juga yang bergerak ke kawasan selatan wilayah Palestin itu.
Kemusnahan yang mereka temui kali ini lebih parah selepas Israel melancarkan serangan baharu ke atas Bandar Gaza di utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Tentera Israel mengebom bangunan tinggi dan meletupkan rumah dalam usaha untuk memusnahkan infrastruktur ketenteraan Hamas yang masih wujud.
Penduduk Palestin menyatakan kelegaan bahawa perang mungkin berakhir, namun bercampur dengan kebimbangan tentang masa depan serta kesedihan atas kehilangan besar yang dialami.
“Tidak banyak kegembiraan, tetapi gencatan senjata ini sedikit sebanyak mengurangkan kesakitan akibat kematian dan pertumpahan darah, serta penderitaan keluarga dan saudara-saudara kita dalam perang ini,” kata Jamal Mesbah, seorang penduduk yang dipindahkan dari utara dan bercadang untuk pulang.
Di bandar Khan Younis di selatan Gaza, ratusan rakyat Palestin yang kembali mendapati bangunan musnah, timbunan runtuhan dan kehancuran selepas tentera Israel berundur.
“Tiada apa yang tinggal. Hanya beberapa helai pakaian, serpihan kayu dan periuk,” kata Fatma Radwan, yang turut dipindahkan dari Khan Younis. “Orang masih cuba mengeluarkan mayat dari bawah runtuhan,” tambahnya.



