SEORANG kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dan hanyut dibawa arus ketika keluar menangkap ikan bersama adik dan dua rakan di kawasan tali air di Kampung Permatang Gepung, Merchong, Nenasi di Pekan, Pahang semalam.
Mangsa, Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 12, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam air kira-kira jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kanak-kanak itu dibawa pulang ke rumah namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Nenasi.
“Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu bersama ibu dan tiga adiknya keluar mencari ikan di kawasan tali air sawah Kampung Permatang Tepung kira-kira jam 5.30 petang semalam.
“Kira-kira setengah jam kemudian mereka pulang ke rumah namun kanak-kanak itu bersama adiknya berusia sembilan tahun dan dua lagi rakannya kembali semula ke tali air itu tanpa pengetahuan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, semasa leka mencari ikan, mangsa dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.
“Rakan-rakannya meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu mencari kanak-kanak itu sebelum dia ditemukan dalam air dengan kedalaman dua meter kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
“Kanak-kanak itu kemudian dibawa balik ke rumah sebelum pegawai perubatan dipanggil membuat pemeriksaan dan mengesahkan dia telah meninggal dunia,” ujarnya.
Tambah beliau, jenazah kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan kematian kanak-kanak itu akibat lemas,” katanya.


