Warga emas melecur, anak cedera dalam kebakaran rumah akibat tong petrol tumpah dilanggar cucu

SEORANG wanita warga emas melecur 80 peratus di badan manakala anak perempuannya cedera di kaki apabila rumah didiami mereka terbakar dipercayai berpunca daripada tong minyak petrol tertumpah di Kampung Chuchuh Puteri B di Kuala Krai, Kelantan hari ini.

Rusiah Deraman, 72, yang cedera parah dalam kejadian itu kini  telah ditidurkan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Menurut jiran mangsa, Shazwaniey Zahari, 34, dia dan suami, Muhamad Sulaiman Hashim, 36, menyedari kejadian itu kira-kira jam 1 petang semasa hendak keluar membeli makanan tengah hari.

Katanya, semasa mengundurkan kereta kelihatan asap tebal dari rumah Rusiah yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.

“Kami kemudian mendengar suara meminta tolong dari arah rumah tersebut. Kami segera ke sana dan mendapati badan nenek Rusiah telah terbakar dan hanya bahagian dada yang tidak terkena api.

“Suami telah menarik dan mendukung nenek Rusiah untuk menyelamatkan dia. Ini kerana keadaan kawasan rumah yang berbukit menyebabkan nenek Rusiah sukar untuk berjalan laju serta kesihatannya uzur,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

Shazwaniey memberitahu, suaminya kemudian membawa Rusiah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, dia pula segera membawa cucu lelaki Rusiah ke rumah untuk dimandikan kerana badannya terkena minyak petrol yang tumpah.

Tambah dia, mengikut dakwaan Rusiah kejadian itu berlaku ketika cucunya sedang bermain di hadapan rumah dan telah terlanggar tong mengandungi minyak petrol sehingga terjatuh dan pecah serta tertumpah.

“Kebetulan Rusiah baru selesai membakar sampah di hadapan rumahnya dan dari situ berpunca kebakaran sehingga merebak ke kawasan rumah.

“Dua anak perempuan Rusiah serta menantu lelaki dan tiga cucunya dikatakan terpaksa keluar dari tingkap dapur untuk menyelamatkan diri kerana bahagian hadapan rumah telah hangus. Suami Rusiah pula tiada di rumah kerana solat Zuhur di masjid,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Asham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 petang.

“Seramai 11 anggota dan pegawai lain-lain pangkat termasuk bomba bantuan telah ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran serta menyelamat.

“Setiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan dua mangsa iaitu seorang wanita warga emas dan perempuan berusia lingkungan 20-an telah melecur,” katanya.

Menurut beliau, warga emas berkenaan cedera di bahagian badan manakala anak perempuannya melecur di kaki.

Katanya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital oleh jiran untuk menerima rawatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img