”Bukan Imam Masjid Paroi Jaya buat benda tak senonoh itu ” – AJK masjid

JAWATANKUASA Masjid Kariah Paroi Jaya, Negeri Sembilan menafikan imam masjid berkenaan terlibat dalam satu video yang tersebar memaparkan dua lelaki melakukan perkara tidak senonoh di dalam sebuah kereta.

Setiausahanya, Muhammad Faiz Abdul Rahim berkata, dakwaan kejadian itu hanya fitnah semata-mata yang boleh menjejaskan institusi masjid dan agama.

“Saya mendapat satu video daripada seorang kenalan dengan dakwaan Imam Masjid Paroi Jaya adalah lelaki yang berada di dalam kereta itu. Kami segera melakukan siasatan di peringkat jawatankuasa dan jemaah.

“Selepas meneliti kami mendapati imam masjid kami tidak terbabit. Malah, jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya seperti yang terpapar pada video juga tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Sebelum ini pihaknya juga mengakui kecoh mengenai penyebaran video berkenaan yang mengatakan ia dilakukan penjawat awam di negeri ini berdasarkan logo yang ada pada baju.

“Bagaimanapun, kami terkejut apabila ada yang menokok tambah dengan mengatakan imam kami melakukan perkara tidak senonoh ini. Ia jelas menjejas nama Islam dan institusi masjid,” katanya.

Justeru katanya, pihaknya meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan berhubung penyebaran video berkenaan.

“Kami akan membuat satu laporan polis untuk bersihkan nama masjid. Kami juga mahu pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyemak individu yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, tersebar satu rakaman berdurasi 42 saat memaparkan perakam mengetuk cermin sebuah kereta yang didalamnya terdapat dua lelaki dipercayai sedang melakukan perkara yang tidak senonoh.

Dua lelaki berkenaan dilihat terkejut dan menutup muka masing-masing sebelum mengundurkan kenderaan lalu beredar dari kawasan parkir yang tidak dapat dipastikan lokasinya.

Bagaimanapun, pada video itu terdapat kenyataan berbunyi ‘seorang lelaki dipercayai Imam Masjid Paroi Jaya N9. Tengok video apa yang dia buat…laporan polis dibuat oleh jabatan agama Islam’.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya belum mendapat laporan mengenai perkara itu, namun difahamkan ia kini dalam siasatan polis.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img