KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sedang dirawat di hospital dan dalam keadaaan kritikal, menurut anaknya.
Naim Kurniawan Moktar beritahu FMT bahawa Bung Moktar sedang dirawat di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
“Kami berharap dan berdoa agar beliau pulih sepenuhnya, sementara pasukan perubatan memberikan rawatan terbaik,” katanya.
Sumber memberitahu Malaysiakini, ADUN Lamag itu berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat kerana komplikasi yang melibatkan paru-paru, jantung dan buah pinggangnya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu terpilih untuk mewakili rakyat DUN Lamag pada PRN Sabah 29 Nov lalu.
Beliau juga mewakili rakyat Parlimen Kinabatangan selama enam penggal.
Sementara itu, Ketua Menteri Hajiji Noor mendoakan Bung Moktar diberikan kesembuhan segera, serta dipermudahkan segala urusan rawatan.
“Semoga Allah mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini.
‘’Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya, Insha-Allah mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali seperti sediakala,’’ katanya.


