Buruh dipenjara enam tahun samun, cabul wanita warga asing

SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Besut hari ini selepas mengaku bersalah melakukan samun serta mencabul seorang wanita warga asing.

Muhammad Ayub Firdaus Mohd Nor, 29, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fadhli Mahmud dan Majistret Nurliyana Md Zukri.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita warga asing dengan mengambil harta milik mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan semak berdekatan Bukit Bubus, pada jam 1.30 petang, 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun serta satu sebatan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang sama dengan niat mencabul kehormatannya di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Pendakwaan bagi pertuduhan samun dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee, manakala pertuduhan mencabul dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar.

Secara keseluruhan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img