SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah mencederakan anggota polis menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Lalang Pepuyu, Pasir Mas pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Muhammad Syahid Che Mat, 30, membuat pengakuan itu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan mencederakan Koperal Mohd Afiq Amran sehingga mengalami kecederaan parah, termasuk keretakan tulang.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahid didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan parang di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada jam 1.35 tengah hari Sabtu lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada Sabtu lalu, selain dua sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan parah selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki ketika operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.





