SEBANYAK 22,849 individu dilatih menerusi pelbagai program pembangunan bakat semikonduktor negara setakat suku ketiga 2026, sebagai langkah mencapai sasaran melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan bagaimanapun masih belum mempunyai data lengkap berhubung penempatan tepat individu terbabit dalam industri mahupun kadar pengekalan mereka.
Beliau menjelaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini sedang menyelaras pengumpulan data secara menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklumat terperinci.
“Setakat ini, data pecahan penempatan mengikut subsektor yang diminta, MITI sedang menyelaras dan mengumpulkan data-data bersama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi pelaksana, institusi pendidikan dan pihak industri.
“Pada masa ini, kita tidak mempunyai maklumat tepat mengenai tempat mereka bekerja. Kita melahirkan ramai graduan di universiti tempatan. Apabila mereka tamat pengajian dan mendapat pekerjaan, sebahagian daripada mereka tidak memaklumkan perkara itu kepada kita,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin mengenai pecahan penempatan tenaga kerja semikonduktor mengikut subsektor di negara ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, pembangunan bakat dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai kementerian dan penyedia latihan, termasuk program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) kendalian CREST bersama HRD Corp.
Jelas beliau, fokus latihan merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu (IC design), pembungkusan termaju, fabrikasi wafer, sistem terbenam dan automasi, di samping kerjasama universiti bersama syarikat gergasi seperti ViTrox, Intel dan Micron.
“Kejayaan pembangunan bakat semikonduktor tidak hanya bergantung kepada jumlah individu yang dilatih, sebaliknya turut mengambil kira penempatan mereka dalam industri, kesesuaian kemahiran serta keupayaan mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam negara,” katanya.





