CSA: Zaid Ibrahim puji Muhyiddin,Syed Saddiq, harap Pas lakukan tindakan sama

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memuji tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Ahli Pas berkata, walaupun kedua-dua pemimpin itu sebelum ini lantang mengkritik Anwar pada peringkat awal pentadbirannya, mereka kini dilihat menyedari kedudukan politik Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurut Zaid, tindakan menyokong pihak yang berpotensi memenangi pilihan raya merupakan langkah yang bijak.

“Adalah sentiasa bijak untuk menyokong pihak yang menang,” katanya.

Semalam Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu dan Syed Saddiq menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Madani.

Muhyiddin berkata, menerusi CSA itu, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen terbabit pada kadar setara dengan ahli Parlimen kerajaan.

Menurutnya, jumlah peruntukan itu dianggarkan antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun dan bermula dari tarikh perjanjian ditandatangani.

Mengulas lanjut, Zaid berkata beliau sebenarnya berharap parti yang diwakilinya (Pas) turut mengambil langkah sama dengan menyertai dan memberikan sokongan kepada Anwar.

Sebaliknya, kata beliau, parti beliau lebih cenderung memilih untuk menyokong seorang ‘pelajar’.

Menggunakan analogi guru dan pelajar, Zaid berkata, ‘’ tanpa mengambil kira faktor lain, tidak dapat dinafikan bahawa guru sentiasa menjadi pilihan berbanding pelajar.’’



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here