CUBAAN seorang lelaki warga Malaysia menyeludup lebih 100 karton dan 400 peket rokok tanpa cukai ke Singapura gagal selepas barangan berkenaan ditemukan disembunyikan dalam bonet keretanya di Pusat Pemeriksaan Woodlands, 16 Ogos lalu.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata, kegiatan itu dikesan pegawainya ketika menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kereta bernombor pendaftaran Malaysia.
Menurutnya, pegawai Bahagian Pemeriksaan dan Penggeledahan ICA kemudian mengarahkan kenderaan berkenaan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum menemukan rokok tanpa cukai terbabit.
“Lebih 100 karton dan 400 peket rokok tanpa cukai ditemukan disembunyikan dalam bonet kenderaan berkenaan.
“Pemandu lelaki warga Malaysia berusia 28 tahun ditahan berhubung kes itu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
ICA berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada pihak Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, pihaknya kekal komited dalam memudahkan urusan perdagangan dan perjalanan, pada masa sama memastikan sempadan Singapura kekal selamat.
Terdahulu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun turut ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands selepas lebih 700 karton dan 100 peket rokok seludup ditemukan dipercayai disembunyikan dalam keretanya pada 10 Ogos lalu.
Rampasan itu dilakukan ICA selepas pegawainya mengarahkan kenderaan berkenaan menjalani pemeriksaan lanjut ketika memasuki Singapura.





