Fadhlina arah JPN Perak siasat dakwaan pengetua ganggu seksual pelajar

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat dakwaan seorang pengetua sekolah menengah di negeri itu yang melakukan gangguan seksual terhadap pelajar perempuan.

Beliau berkata, pengetua terbabit turut ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan berhubung dakwaan itu selesai.

Perkara itu dimaklumkan Fadhlina menerusi ruangan komen pada hantaran tular berkaitan isu berkenaan di platform Threads hari ini.

Terdahulu, satu hantaran tular meminta ibu bapa dan masyarakat di Teluk Intan supaya berwaspada susulan dakwaan salah laku membabitkan pengetua sebuah sekolah menengah kerajaan di kawasan itu.

Dakwaan berkenaan termasuk menghantar mesej berunsur romantik kepada seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, selain dakwaan gangguan seksual dan hubungan sulit.

Hantaran itu turut menggesa pihak berkaitan mengambil serius perkara berkenaan demi memastikan keselamatan pelajar, selain menuntut siasatan dijalankan tanpa mengabaikan dakwaan yang dibangkitkan.

Dalam pada itu, satu rakaman video yang turut tular memaparkan seorang lelaki dipercayai pengetua terbabit berdepan beberapa wanita yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih tertakluk kepada siasatan pihak berkuasa pendidikan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here