DAP Melaka dijangka tarik sokongan terhadap kerajaan negeri

DAP Melaka dijangka mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan negeri petang ini jika usul pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tindakan itu menyusul selepas kata dua diberikan pemimpin parti berkenaan pada sidang media khas yang diketuai Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong baru-baru ini yang membantah cadangan meminda Perlembagaan Melaka bagi membenarkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan.

Empat ADUN yang akan berbuat demikian adalah ADUN Kesidang yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; ADUN Ayer Keroh dan Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee serta dua Timbalan Exco iaitu ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong serta ADUN Banda Hilir, Leng Chau Yen.

Difahamkan, DAP juga akan mengumumkan peletakan jawatan semua wakilnya dalam pentadbiran negeri, termasuk Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) negeri sebagai tanda bantahan terhadap pindaan Perlembagaan Negeri terbabit.

Sumber memaklumkan, sidang media petang ini akan diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri yang juga ADUN Bukit Katil, Adly Zahari dan akan dihadiri Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka.

Sementara itu, ADUN Merlimau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh ketika dihubungi BH, mengalu-alukan tindakan DAP itu.

“Silakan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Untuk rekod, kedudukan ADUN di Melaka ketika ini terdiri daripada 20 wakil Barisan Nasional (BN), lima PH manakala tiga adalah Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan agenda hari kedua Persidangan Kedua, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 hari ini, usul mengenai Rang Undang-Undang yang Bernama Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 akan dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ia disusuli dengan sesi perbahasan, diikuti penggulungan serta undian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img