BEBERAPA laluan utama di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) akan ditutup secara berperingkat sempena penganjuran Allianz Duo Highway Challenge 2026 Edisi Ke-8 yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, penutupan jalan serta lencongan trafik itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran acara larian dan keselamatan semua peserta serta pengguna jalan raya.
Menurutnya, kategori utama larian sejauh 42 kilometer melibatkan laluan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan 21 simpang di Selangor serta 24 simpang di ibu negara terlibat dalam pelan kawalan trafik.
“Bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran aliran trafik sepanjang acara berlangsung, polis akan menggerakkan lapan pegawai kanan dan 67 pegawai rendah dari Kontinjen Selangor.
“Kontinjen Kuala Lumpur pula akan menempatkan enam pegawai kanan dan 65 pegawai rendah bagi membantu mengawal laluan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penutupan laluan dan simpang di sepanjang Lebuhraya NPE akan dilaksanakan mengikut pelan kawalan trafik yang telah ditetapkan.
Katanya, antara lokasi yang terlibat di Selangor ialah kawasan Sunway membabitkan susur Caltex, Sunway Clio, susur CP4, Lagoon Timur dan pintu gerbang Sunway.
Selain itu, kawasan Maju Jaya melibatkan U-Turn Maju Jaya, susur Maju Jaya arah utara dan selatan serta susur Mentari, manakala kawalan turut dijalankan di Persimpangan Taman Medan, susur PJCC dan susur Templer.
Menurutnya, kawalan di lokasi berkenaan akan diperkukuhkan dengan pemasangan penghadang plastik, papan tanda amaran serta penugasan petugas bendera bagi memastikan aliran trafik terkawal.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan, termasuk penduduk PJS 8, PJS 10 dan PJS 12 melalui FHR2 serta Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), manakala penduduk PJS 9, PJS 11, PJS 13 dan kawasan Sunway disaran menggunakan laluan ke arah Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan USJ.
Shazeli berkata, orang ramai juga diminta merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas trafik di lapangan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai laluan dan penutupan jalan bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang acara berlangsung.






