MALAYSIA dan Thailand sepakat memperkukuh kerjasama pertahanan dalam usaha mendepani cabaran keselamatan serantau, selain terus mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya dari Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen sempena lawatan rasmi pertama Menteri Pertahanan Thailand itu ke Malaysia selama dua hari yang berakhir hari ini.
Mohamed Khaled berkata, antara agenda utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah butiran mengenai perancangan perjanjian persefahaman (MoU) yang bakal dimeterai dalam kerjasama pertahanan.
Katanya, MoU merangkumi soal keselamatan merangkumi kawalan keselamatan sempadan kedua-dua negara serta kerjasama untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.
“Kerjasama kawalan keselamatan di sempadan antara kedua-dua negara bermula sejak 1978 dan dilaksanakan dengan baik demi kepentingan bersama supaya memastikan kawasan itu sentiasa selamat daripada sebarang elemen penyeludupan, kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara selain aktiviti pencerobohan haram.
“Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (GBC) Malaysia-Thailand ke-57 tahun ini.
“Perkara yang akan dibincangkan adalah mengenai jalinan kerjasama dalam operasi membabitkan kedua-dua negara secara bersama, perancangan dalam menjayakan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan serta soal mengkoordinasikan pengurusan bencana di sempadan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Adul Boonthumjaroen di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini, lapor BH.
Pada pertemuan itu, Mohamed Khaled turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan Adul Boonthumjaroen sebagai Menteri Pertahanan Thailand, serta menyatakan keyakinan terhadap kejayaan berterusan negara itu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul.
Mohamed Khaled berkata, dalam pertemuan itu juga, kementeriannya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalu-alukan penyertaan Thailand dalam kursus dan Program Malaysian Defence Cooperation (MDCP).
“MDCP adalah satu program yang kita usahakan sebagai meningkatkan lagi pelaksanaan dan pendekatan kita dalam mengurus pertahanan iaitu apa yang kita panggil sebagai diplomasi pertahanan.
“Justeru, dalam menjayakan diplomasi pertahanan, kita mengalu-alukan penyertaan pegawai tentera daripada Thailand menyertainya, sekali gus berpeluang untuk meningkatkan profesionalisme ketenteraannya selain membina jaringan kerjasama antara pegawai tentera Malaysia dengan semua pegawai tentera daripada negara sahabat lain termasuk Thailand,” katanya.
Beliau juga turut menyatakan sokongan terhadap usaha menstabilkan wilayah Selatan Thailand, termasuk mengalu-alukan pelantikan Thanud Suvernananda, sebagai Ketua Dialog Damai Selatan Thailand, bagi baharu mewakili kerajaan Thailand, awal tahun ini.
Dalam perkembangan Thailand turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia membantu meredakan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, selain mengiktiraf peranan proaktif negara ini dalam memudah cara dialog serta memupuk kestabilan serantau.
Sempena lawatan itu, Adul Boonthumjaroen turut mengadakan lawatan ke National Aerospace and Defence Industries (NADI) Group of Companies.
Lawatan ke fasiliti syarikat berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama yang berpotensi serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor industri pertahanan pada masa depan.






