DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap beberapa premis hiburan di sekitar ibu negara yang didapati beroperasi tanpa lesen hiburan.
Dalam operasi khas yang dijalankan kelmarin, DBKL turut menyasarkan premis yang dikendalikan warga asing serta gagal mematuhi syarat lesen petempatan makanan.
Operasi itu dilaksanakan di sekitar Parlimen Kepong, Seputeh dan Bukit Bintang.
Menurut kenyataan DBKL, sebanyak lapan notis tawaran kompaun dikeluarkan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Iklan (WP) 1982.
“Tiga notis pemberitahuan mengenai kesalahan turut dikeluarkan terhadap premis yang mengadakan hiburan tanpa lesen.
“Selain itu, tiga sitaan barangan berkaitan hiburan serta satu penutupan premis dilaksanakan serta-merta,” menurut kenyataan itu.
DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memastikan premis perniagaan dan hiburan di Kuala Lumpur mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Langkah itu juga bagi memastikan kesejahteraan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Sebarang aduan atau maklum balas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” jelas kenyataan itu.





