DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengangkut lapan motosikal yang diletakkan di kawasan larangan dan menghalang laluan pejalan kaki dalam Tindakan Khas Lalulintas Angkut Siri 11/2026 di hadapan NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, semalam.
Operasi penguatkuasaan itu menyasarkan motosikal serta kenderaan persendirian yang diparkir di tempat tidak dibenarkan termasuk di laluan pejalan kaki dan kawasan awam sehingga menjejaskan kelancaran pergerakan orang ramai.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, semua motosikal yang diangkut dibawa ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Pahang bagi tujuan tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara sebelum dituntut semula oleh pemilik.
Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan lapan notis kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.
DBKL turut mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan meletakkan kenderaan di lokasi yang dibenarkan.
“Tindakan tegas akan terus dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan pejalan kaki atau mengganggu kelancaran lalu lintas,” menurut kenyataan itu.






