Penganggur didakwa miliki rifle, lima senapang angin dan 6,158 peluru

SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas tiga pertuduhan memiliki sepucuk senjata api, lima laras senapang angin dan 6,158 butir peluru tanpa lesen atau permit yang sah, awal bulan ini.

Tertuduh, Ling Boon Xu, 30, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis rifle (ACI) berkaliber 9 milimeter secara menyalahi undang-undang di sebuah pondok kayu di belakang sebuah rumah di Kampung Cina, Sitiawan antara jam 10 malam hingga 10.30 malam pada 1 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki lima laras senapang angin pelbagai jenis tanpa lesen atau permit yang sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Boon Xu didakwa memiliki 6,158 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen atau permit yang sah, juga di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta jurubahasa.

Pada 6 Julai lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan dalam dua siri serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak di Sitiawan selepas polis menemukan objek menyerupai senjata api bersama sejumlah besar peluru di sebuah pondok kayu di belakang rumah. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilaporkan berkata, suspek ditahan pada 1 Julai lalu bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img