SEBUAH tapak pembinaan kediaman bertingkat di Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak diarahkan menghentikan operasi selepas pelbagai pelanggaran membabitkan aspek kebersihan, keselamatan serta pematuhan peraturan dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan Siri 4/2026, kelmarin.
Operasi yang diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, operasi itu turut menyaksikan lapan notis kompaun dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan yang dikesan di tapak berkenaan.
Menurutnya, kompaun itu membabitkan kesalahan kacau ganggu akibat kerja pembinaan ke saluran longkang awam, pembinaan bangunan sementara tanpa kelulusan, pembiakan nyamuk (jentik-jentik) dalam kawasan tapak pembinaan serta lori membawa bahan binaan tanpa permit laluan.
“DBKL menutup tapak pembinaan daripada beroperasi sehingga tahap kebersihan dan keselamatan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak kontraktor.
“Tindakan penguatkuasaan diambil menerusi peruntukan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997, Akta Kerajaan Tempatan 1976dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” kata kenyataan itu.
Dalam operasi sama, pihak JIM dan PDRM turut menjalankan pemeriksaan dokumen perjalanan serta permit kerja sebelum menahan lapan pekerja pembinaan warga Bangladesh untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, CIDB mengeluarkan dua notis N2/2015 kepada kontraktor utama dan memberi tempoh 14 hari bagi mengemukakan dokumen berkaitan kerja pembinaan yang sedang dijalankan.
“Pemeriksaan turut mengesan beberapa isu keselamatan termasuk pendawaian elektrik berbahaya, penggunaan petrol bagi janakuasa (genset), ketiadaan tempat penyimpanan alat pemadam api serta penggunaan gas petroleum cecair (LPG) di kawasan dapur tanpa pengawasan sewajarnya oleh pihak JBPM,” katanya.
DBKL memaklumkan operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan secara berkala di kawasan parlimen seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan awam sentiasa terpelihara.






