Didalangi lelaki Kanada, sindiket judi Piala Dunia digempur, 11 ditahan

SINDIKET pusat panggilan perjudian dalam talian yang mempromosikan pertaruhan perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026 kepada pelanggan di Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong tumpas selepas polis menyerbu sebuah pejabat di Taman Desa, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, polis menahan 11 individu termasuk enam lelaki warga Korea Selatan serta merampas wang tunai dan aset digital bernilai lebih RM1.3 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi dijalankan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Mohd. Zariezul Ismail.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap komputer dan peranti elektronik di premis itu mendapati sindiket terbabit mempromosikan beberapa laman web perjudian dalam talian yang menyasarkan pelanggan luar negara.

“Promosi yang dijalankan membabitkan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 khusus kepada pelanggan dari Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong.

“Seramai 11 individu ditahan membabitkan sembilan lelaki dan dua wanita. Daripada jumlah itu, tiga lelaki dan dua wanita merupakan warga tempatan manakala enam lagi ialah lelaki warga Korea Selatan,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk komputer, komputer riba, telefon bimbit, peranti Wi-Fi serta wang tunai RM18,817.

Katanya, turut disita ialah baki kredit mata wang digital bernilai 323,380.22 USDT atau kira-kira RM1.3 juta selain 17,560 won Korea Selatan bernilai kira-kira RM47.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati sindiket beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu dari sebuah pejabat di Faber Tower 1, Taman Desa.

“Siasatan juga mendapati premis tersebut diuruskan oleh seorang wanita tempatan yang bertanggungjawab mengendalikan urusan sewaan pejabat dan pekerja.

“Dalang utama kegiatan ini dipercayai seorang lelaki warga Kanada dikenali sebagai Victor yang kini dipercayai berada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman turut dipanggil bagi menjalankan analisis terhadap semua barang kes.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan peranti yang dirampas digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian menerusi beberapa pautan laman web.

“Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img