DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan naratif sempit berasaskan kaum, agama, daerah dan negeri tidak sepatutnya terus mengalih perhatian rakyat daripada isu besar yang boleh mengancam keselamatan negara.
Perdana Menteri berkata, kecenderungan sebahagian perbahasan awam yang masih tertumpu kepada isu lama membimbangkan ketika negara berdepan cabaran keselamatan baharu.
Menurut beliau, kepemimpinan di jabatan, agensi dan kementerian perlu memainkan peranan lebih besar dalam mengubah kefahaman terhadap ancaman keselamatan masa kini.
“Saya lihat kadangkala naratif di luar hatta kadangkala saya selalu sinis kawan-kawan saya di perbahasan di Parlimen, kadang-kadang isu-isu lama kaum, isu agama yang sempit, polemik di Johor sekarang ni sentimen daerah, negeri.
“Ini isu-isu besar yang mengancam negara, itu tidak menjadi suatu hal yang patut diberikan penekanan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keadaan itu membimbangkan kerana naratif luar kadangkala tidak mendesak negara memikirkan cara dan kaedah baharu bagi menyelamatkan serta mengangkat martabat negara.
Katanya, kerajaan dan kepemimpinan pentadbiran tidak boleh menunggu sehingga naratif masyarakat berubah dengan sendiri.
“Itu bagi saya membimbangkan. Apakah kita harus tunggu sehingga naratif berubah? Tidak. Itu peranan saudara-saudara kepimpinan di jabatan, di agensi, di kementerian itu bukan dia urusan birokratik biasa,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kepemimpinan dalam sektor awam juga perlu cepat memahami teknologi baharu dan cabaran baharu yang kini turut membentuk landskap keselamatan negara.
Katanya, pendekatan keselamatan tidak lagi boleh terikat kepada kefahaman lama kerana ancaman masa kini berlaku dengan lebih pantas dan meluas.
“Dia mesti cepat menangkap kefahaman teknologi baru dan cabaran-cabaran baru,” katanya.
Anwar berkata, perubahan dalam dunia pasca-normal berlaku secara pesat, spontan dan serentak dalam pelbagai bidang.
Katanya, keadaan itu menyebabkan soal keselamatan negara tidak boleh lagi dilihat dalam ruang sempit atau ditangani oleh satu agensi semata-mata.
“Kalau kita katakan bahawa perubahan itu cepat tetapi dia juga meluas. Kalau kita nak bicarakan soal keselamatan dia ada seratus satu perkara yang kita harus bahaskan dalam masa yang sama,” katanya.
Perdana Menteri berkata, semua jabatan dan kementerian perlu sedar negara sedang berdepan keadaan bukan normal yang menuntut pendekatan lebih pantas serta menyeluruh.
Katanya, cabaran keselamatan masa kini memerlukan kepakaran teknologi baharu dan kerjasama dengan negara sahabat yang mempunyai keprihatinan sama.
“Ini memerlukan kepakaran melalui teknologi baru, melalui usaha-usaha kerjasama dengan negara-negara sahabat yang juga menunjukkan keprihatinan yang sama.
“Dan ini harus dilakukan dan saya harap bukan saja MKN dan kementerian terlibat tapi semua jabatan kementerian harus tahu bahawa kita menghadapi keadaan yang bukan normal,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan keselamatan negara juga perlu membabitkan kerjasama menyeluruh antara sektor awam, swasta, pimpinan politik dan penjawat awam.






