KERAJAAN menafikan dakwaan bahawa tambahan 200 juta liter diesel milik Malaysia sedang dalam perjalanan ke pantai Australia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan media Australia itu merujuk kepada urusan komersial melibatkan syarikat minyak antarabangsa yang mempunyai kemudahan penyimpanan di perairan Malaysia.
“Saya ada membaca laporan daripada sebuah agensi berita Australia yang menyebut 200 juta liter diesel itu melibatkan beberapa negara termasuk Brunei dan Malaysia.
“Bagaimanapun, semakan bersama pusat arahan komunikasi serta beberapa pihak berkaitan mengesahkan bahawa itu bukan diesel Malaysia,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, dilaporkan berkata tambahan 200 juta liter diesel sedang dihantar ke negara itu bagi menampung keperluan tenaga.
Beliau memaklumkan penghantaran tersebut melibatkan dua kargo, masing-masing dari Korea Selatan dan Brunei.
Sementara itu, Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen, berkata bekalan tambahan itu dijangka tiba di Australia pada minggu terakhir Mei atau awal Jun ini.


