KERAJAAN mengarahkan semua kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya mempertingkat langkah penjimatan penggunaan bahan bakar dalam operasi harian.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua kementerian, jabatan serta agensi agar melaksanakan langkah keutamaan bagi memastikan penggunaan bahan bakar dapat dioptimumkan.
“Antara langkah yang digariskan termasuk melaksanakan lebih banyak mesyuarat secara dalam talian, mengurangkan mesyuarat bersemuka, mengehadkan program serta perjalanan ke luar negara, selain mengutamakan penggunaan premis agensi atau kerajaan bagi pelaksanaan bengkel dan program latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet dan Taklimat Harian Krisis Tenaga Global di Putrajaya, hari ini.
Tambah beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan penggunaan sumber lebih cekap dalam menghadapi cabaran berkaitan tenaga global ketika ini.


