PEMILIK restoran JL Fara mendakwa dia tidak mengetahui mengenai program hiburan disko retro serta hippie era 1960-an, 1970-an dan 1980-an yang didakwa berlaku di premis miliknya itu kerana ia dianjurkan pelanggan.
Fara Sharina Zamari, 37, mendakwa, selaku pemilik restoran di pinggir sungai Kelantan itu, pihaknya tidak terbabit dalam penganjuran pesta berkenaan, malah ketika majlis dia berada di luar negara.

“Saya tidak tahu pelanggan menganjurkan majlis perjumpaan dan sambutan hari jadi yang bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an.
“Saya ada didatangi individu untuk menyewa tempat bagi mengadakan sambutan hari jadi untuk golongan wanita sahaja iaitu kira-kira 40 orang.
“Individu berkenaan tidak memaklumkan bentuk penganjuran dan hanya meminta saya memberikan tawaran diskaun menyewa tempat serta memesan makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Media sebelum ini melaporkan, program hiburan terbabit disyaki dianjurkan di sebuah restoran popular di tepi Sungai Kelantan baru-baru ini dikesan tidak mempunyai lesen hiburan.
Program hiburan dipercayai bercampur antara lelaki dengan wanita itu tular di media sosial sejak malam tadi, dengan siasatan kini sedang dijalankan pihak berkuasa..
Fara Sharina mendakwa, selepas bersetuju individu berkenaan yang saya percayai sebagai penganjur jamuan membayar tempahan, namun dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai muat naik di media sosial mengenai penganjuran parti dengan keadaan bercampur antara lelaki dan wanita yang di luar pengetahuannya.
“Saya sudah menghubungi individu berkenaan selepas pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) meminta penjelasan daripada saya,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan sedang menyiasat program hiburan disko retro serta hippie era 1960-an, 1970-an dan 1980-an baru-baru ini yang dipercayai dianjurkan tanpa lesen.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, MPKB-BRI menerima aduan orang awam berhubung program itu yang dipercayai dianjurkan di sebuah restoran terkenal di tepi Sungai Kelantan.
“Pihak MPKB-BRI memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan dalam proses mengambil tindakan.
“Program itu juga didapati melanggar Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 serta Pekeliling Negeri Bilangan 4 Tahun 2003,” katanya sambil memberitahu penganjuran program hiburan tanpa lesen adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025.
Menurutnya, lesen perniagaan pemilik premis juga boleh ditarik balik kerana melanggar syarat di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 2019.
Katanya, peserta yang terbabit turut boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Negeri Kelantan.






