SEORANG doktor yang hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin (windsurfing) di perairan Tanjung Bungah semalam, ditemukan maut di kawasan berbatu berhampiran Straits Quay di Georgetown pagi tadi.
Mayat Khaw Chun Sein, 74, ditemukan terdampar di pesisir pantai pada jam 9.56 pagi, ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi penemuan.
“Susulan pengecaman dan pengesahan oleh waris terdekat, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini, lapor NST.
Menurutnya, operasi pencarian yang diselaraskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi, membabitkan lima sektor laut dan satu sektor udara.
Operasi berkenaan turut membabitkan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal serta BBP Butterworth, termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Katanya, Pasukan Bomba Sukarela, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menyertai operasi berkenaan.
“Sebanyak tujuh bot dan sebuah helikopter Maritim Malaysia digerakkan bagi operasi pencarian ini, manakala pasukan operasi kami menjalankan pencarian di permukaan air dalam radius 1.36 batu nautika persegi,” katanya.
Susulan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan secara rasmi manakala pos kawalan hadapan di Kelab Renang Cina, Tanjung Bungah, ditutup pada jam 10.30 pagi.
Dr Chun Sein dilaporkan hilang pada jam 7.42 malam semalam selepas gagal pulang daripada melakukan aktiviti luncur angin di perairan berhampiran Kelab Renang Cina, sepanjang Jalan Tanjung Tokong, Georgetown.





