Malaysia teruskan dialog langsung, usaha diplomatik tangani krisis Myanmar – Anwar

MALAYSIA meneruskan pendekatan diplomatik menerusi penglibatan langsung dan dialog dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap kemelut politik di Myanmar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu dilaksanakan tanpa mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang menjadi asas usaha serantau menangani krisis berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu dikongsikan dalam Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, termasuk usaha Malaysia mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing.

Usaha itu turut disusuli lawatan rasmi pemimpin Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu.

“Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus, di samping menangani isu dua hala, termasuk kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, beliau turut berkongsi hasil perbincangan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang antara lain menyentuh perkembangan semasa di Myanmar.

Menurutnya, perkembangan itu memperlihatkan keperluan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut yang berlarutan di negara berkenaan.

Selain isu Myanmar, perbincangan dalam sesi berkenaan turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Dalam aspek tenaga pula, Anwar menggesa supaya pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepatkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data.

Katanya, usaha memperkukuh jaringan tenaga serantau itu penting bagi menjamin keterjaminan bekalan tenaga dalam menghadapi peningkatan keperluan ekonomi ASEAN.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here