POLIS mengesahkan lelaki warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada Khamis lalu ketika dalam tahanan reman berhubung kes seksual terhadap kanak-kanak masih diburu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, bagaimanapun polis percaya suspek itu masih berada dalam negara dan operasi memburunya sedang giat diteruskan.
“Polis masih mencari dan mengesan suspek. Skop pencarian masih di dalam negara,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Polis kini mempergiatkan operasi memburu suspek, termasuk memperketat kawalan di pintu sempadan bagi mengelak lelaki itu melarikan diri ke luar negara.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd Hafiz memberitahu, insiden berlaku kira-kira jam 6 petang Khamis lalu ketika proses menghantar tahanan reman ke Penjara Sungai Buloh oleh Cawangan Pengawal Pengiring Shah Alam.
Setiba di padang kawad Penjara Sungai Buloh, suspek bagaimanapun meloloskan diri ketika turun dari kenderaan polis.
Pada hari kejadian, tahanan reman itu baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.
Suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren serta seluar panjang hitam.
Sebarang maklumat berkaitan kedudukan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor C Muhendran di talian 010-430 4383 atau hotline ‘Search and Capture’ (03-6140 1096).


