SEORANG wanita warga Thailand bersama anak perempuannya ditahan selepas disyaki menyimpan 197 batang kayu gaharu dan 310.8 kilogram (kg) kepingan kayu berkenaan tanpa lesen di sebuah kediaman di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chiha Tinggi, Pasir Mas, semalam.
Kedua-dua wanita berusia 54 dan 19 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan kira-kira jam 5 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di dalam dan luar rumah, termasuk stor serta sebuah kilang lama bersebelahan kediaman itu, menemukan kayu gaharu dalam pelbagai saiz dan bentuk kepingan.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas tujuh tong plastik dan 11 dokumen yang disyaki meragukan, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM3.47 juta.
“Siasatan mendapati rumah dan kilang lama bersebelahan kediaman itu pernah digunakan sebagai tempat latihan Jabatan Perhutanan dari 2011 hingga 2015.
“Lokasi berkenaan mula beroperasi sejak 2000 dan mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu. Kayu itu diperoleh dari hutan serta tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016, sebelum lesen atau permit pemindahan ditamatkan Jabatan Perhutanan pada tahun sama,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, pemilik asal kilang berkenaan yang juga suami kepada wanita warga Thailand itu meninggal dunia pada 6 September lalu, menyebabkan urusan penyimpanan dan penjagaan kayu gaharu terbabit diambil alih keluarganya.
Menurutnya, siasatan mendapati kayu gaharu itu disimpan tanpa lesen atau permit yang sah.
Kedua-dua wanita bersama barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).





