KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan dua sindiket perjudian haram berskala besar termasuk Winbox dan Alibaba menerusi Op Dadu Khas baru-baru ini perlu disusuli tindakan lebih menyeluruh bagi memastikan rangkaian jenayah itu tidak kembali beroperasi menggunakan modus operandi baharu.
Ketua Program Antropologi dan Sosiologi, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Nur Hafizah Yusoff berkata, pembanterasan perjudian haram tidak boleh lagi bergantung kepada serbuan premis dan penahanan pekerja semata-mata.

Sebaliknya, katanya, tindakan penguatkuasaan perlu menjurus kepada pembongkaran keseluruhan ekosistem jenayah termasuk mengenal pasti dalang, memutuskan sumber kewangan serta mengekang rangkaian operasi sindiket.
“Pembanterasan perjudian haram tidak boleh lagi berorientasikan serbuan semata-mata. Malaysia memerlukan pendekatan yang berorientasikan pembongkaran ekosistem jenayah kerana sindiket boleh kehilangan premis dan pekerja, tetapi selagi modal, jaringan dan permintaan masih wujud, kegiatan sama berpotensi muncul semula dalam bentuk baharu,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan membongkar sindiket Winbox dan Alibaba menerusi Op Dadu Khas merupakan perkembangan signifikan dalam usaha membanteras jenayah terancang, selain menunjukkan keupayaan risikan dan penguatkuasaan PDRM.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan operasi tidak semestinya bermakna keseluruhan rangkaian jenayah sudah dilumpuhkan kerana keberkesanan sebenar hanya dapat dinilai apabila dalang utama dikenal pasti, aliran kewangan diputuskan dan kegiatan berkenaan tidak berulang.
Menurutnya, sindiket perjudian haram kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada premis fizikal, sebaliknya membentuk ekosistem yang menggabungkan teknologi digital, transaksi kewangan, pekerja, pengendali platform dan pelanggan.
Mengulas ketegasan kerajaan, Nur Hafizah berkata, komitmen politik dan keutamaan yang diberikan terhadap pembanterasan kegiatan ekonomi haram mampu memperkukuh keberkesanan agensi penguatkuasaan melalui penyelarasan dasar, sokongan institusi serta pengagihan sumber.
Namun, beliau menegaskan kejayaan penguatkuasaan tidak wajar disandarkan kepada ketegasan politik semata-mata, sebaliknya perlu disokong profesionalisme, integriti anggota, kebebasan operasi dan pelaksanaan undang-undang secara konsisten.
Mengulas mengapa sindiket seumpama itu sukar ditumpaskan, beliau berkata, organisasi jenayah lazimnya mempunyai struktur dan rangkaian tersusun dengan individu berperanan berbeza, termasuk mengurus platform, merekrut pelanggan, mengendalikan transaksi serta mengurus keuntungan.
“Penutupan sesebuah premis atau penahanan pekerja bawahan tidak semestinya menjejaskan keseluruhan organisasi jenayah kerana sindiket masih berpotensi meneruskan kegiatan melalui rangkaian lain yang belum dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, permintaan berterusan terhadap perjudian haram, keinginan memperoleh kekayaan dengan cepat serta kemudahan akses teknologi digital turut menyumbang kepada kelangsungan kegiatan berkenaan.
Justeru, pendekatan PDRM yang turut memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang, menyiasat aliran kewangan menerusi undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram (AMLA) dan memutuskan infrastruktur operasi disifatkan lebih menyeluruh berbanding tindakan menutup premis semata-mata.
Katanya, keuntungan menjadi antara faktor utama yang menggerakkan organisasi jenayah, justeru tindakan menyekat sumber kewangan berpotensi memberi kesan lebih besar terhadap keupayaan sindiket meneruskan operasi.
“Penguatkuasaan paling berkesan ialah apabila organisasi jenayah kehilangan kemampuan kewangan, kepimpinan dan infrastruktur untuk meneruskan kegiatannya,” katanya.
Beliau berkata, pemotongan bekalan elektrik pula boleh mengganggu operasi di premis terbabit, namun langkah itu bukan penyelesaian utama kerana sindiket masih berupaya memindahkan kegiatan ke lokasi lain atau menggunakan infrastruktur berbeza.
Bagi memastikan kejayaan operasi berterusan, Nur Hafizah mencadangkan kerjasama strategik antara PDRM, Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan diperkukuh.
Selain itu, kerajaan perlu menangani faktor permintaan melalui pendidikan literasi kewangan, kesedaran mengenai risiko ketagihan perjudian, intervensi komuniti dan sokongan kepada individu yang berdepan masalah perjudian.
Beliau turut berpandangan keberkesanan operasi tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah serbuan dan tangkapan semata-mata, sebaliknya mengambil kira kejayaan pendakwaan, nilai aset yang dilucut hak secara sah, gangguan terhadap rangkaian kewangan serta kadar kemunculan semula sindiket.
“Usaha membanteras perjudian haram memerlukan pendekatan yang menangani keseluruhan ekosistem jenayah, bukan sekadar individu yang ditangkap atau premis yang ditutup,” katanya.





