Tiada unsur jenayah dalam kes kanak-kanak 6 tahun lemas ketika memancing

POLIS mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan lemas di kolam takungan air berhampiran Taman Sungai Mas di Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa keluar bekerja kira-kira jam 6.30 pagi selepas mendapati anak mereka sedang tidur bersama kakaknya yang berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, katanya, ibu mangsa dihubungi seorang kenalan kira-kira jam 10 pagi yang memaklumkan anaknya ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan, kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.

“Mangsa dibawa keluar dari kolam oleh anggota bomba.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai pergi ke kolam berkenaan bersendirian untuk memancing susulan penemuan sebatang joran berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 11.15 pagi, manakala bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat lemas.

Menurut Tan, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak dan tidak membiarkan mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti kolam, sungai serta perairan tanpa pengawasan orang dewasa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here