SERAMAI 77 individu, termasuk 76 wanita warga asing, ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Perdana Barat 8, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi menerusi Op Noda pada 21 Oktober itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan, dengan kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan atau kelulusan pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan, manakala wanita warga asing yang ditahan disyaki bertugas sebagai pelayan.
“Polis turut merampas satu resit perniagaan, dua unit pembesar suara jenama ASL, satu mikrofon jenama BBS dan satu pengawal DJ jenama Pioneer,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan dibawa ke hadapan Majistret pada 21 Oktober bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.





