AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua buah bot penumpang kerana membawa muatan berlebihan dalam satu operasi rondaan keselamatan di perairan Pelabuhan Klang, petang semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 5.30 petang dan 5.50 petang pada kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Pelabuhan Klang ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang nahkoda dan seorang kru masing-masing, melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa lebihan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah bot membawa seramai 40 penumpang manakala sebuah lagi membawa 42 penumpang, sedangkan jumlah maksimum yang dibenarkan mengikut syarat lesen hanyalah 32 dan 34 orang.
Berikutan itu, kedua-dua bot bersama semua individu terlibat telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Selangor untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menasihatkan semua pengusaha bot penumpang supaya sentiasa mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan demi keselamatan penumpang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda sentiasa terpelihara,” katanya.


