Dua daripada 57 rakyat Malaysia dilapor hilang dikesan selamat

DUA  daripada 57 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan banjir kilat dan tanah runtuh di daerah Rasuwa, Nepal, berjaya dikesan dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, identiti kedua-dua individu berkenaan masih dalam proses pengesahan sebelum angka rasmi dikemas kini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri (KLN), Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata, usaha mengesan rakyat Malaysia di Nepal terus dipergiatkan menerusi kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, China dan India, selain perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan.

“Daripada angka 57 sebelum ini, ada dua orang yang dikatakan selamat. Tetapi kita masih cuba mengesahkan sama ada nama dua orang ini termasuk dalam senarai asal. Jadi, kita sedang membuat semakan silang sebelum mengemas kini angka rasmi,” katanya.

Menurut beliau, operasi mengesan dan menyelamat rakyat Malaysia menjadi lebih mencabar berikutan kerosakan besar terhadap jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi di kawasan terjejas akibat limpahan Sungai Bhotekoshi.

“Operasi menyelamat turut terpaksa dihentikan sementara berikutan limpahan air dari kawasan sempadan serta keadaan hujan berterusan yang menjejaskan usaha mencari dan menyelamat, selain membahayakan anggota penyelamat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KLN turut mengesahkan 36 rakyat Malaysia yang berada di Lhasa, Tibet, China, berada dalam keadaan selamat setakat ini.

Bagaimanapun, proses pengesahan di lapangan masih diteruskan berikutan keadaan cuaca buruk yang turut meliputi kawasan sempadan Nepal-China.

Menurut Datuk Syed Md Hasrin, skop operasi Wisma Putra kini diperluaskan sehingga ke wilayah Tibet bagi memastikan setiap rakyat Malaysia yang berada berhampiran kawasan bencana dapat dikenal pasti dan dipantau.

Mengulas mengenai bantuan kemanusiaan, beliau berkata Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Nepal, namun bentuk bantuan akan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar yang dimaklumkan kerajaan negara itu menerusi saluran rasmi.

“Selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Wisma Putra akan terus menyalurkan maklumat terkini yang telah disahkan kepada ahli keluarga dan meneruskan usaha mengesan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, KLN telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala aset seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Pertahanan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya bantuan diperlukan.

Sementara itu, Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya kini beroperasi 24 jam bagi menerima maklumat daripada orang ramai serta membantu ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan rakyat Malaysia di Nepal dan Tibet.

KLN turut menggesa ahli keluarga memberikan maklumat lengkap, termasuk nama, nombor pasport, jadual perjalanan dan lokasi terakhir, bagi mempercepatkan proses pengesahan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada kenyataan rasmi kementerian dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung situasi semasa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here