Dua kes samun di Nilai dalam tempoh 24 jam

DALAM tempoh tidak sampai 24 jam, dua kejadian samun bersenjata dilaporkan berlaku masing-masing di Bandar Baru Nilai dan kawasan Rumah Rakyat Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kedua-dua kejadian membabitkan suspek bermotosikal dan bersenjatakan pisau dan parang.

“Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 1.10 pagi di kedai serbaneka 24 jam di Jalan BBN 1/2F, Bandar Baru Nilai.

“Siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal. Salah seorangnya bersenjatakan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Johari, suspek kemudian dikatakan bertindak mengugut mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an, manakala seorang lagi suspek mengambil wang tunai dianggarkan RM600, serta beberapa karton rokok pelbagai jenama sebelum melarikan diri.

Menurut beliau, kejadian kedua pula berlaku di kawasan Rumah Rakyat Nilai pada jam 9.48 malam membabitkan seorang mangsa wanita berusia lingkungan 50-an.

“Dalam kejadian ini, tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang dikatakan bertindak mengugut mangsa sebelum melarikan barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai, kad bank dan barang kemas.

“Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan ketika mempertahankan begnya. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img