POLIS percaya sekumpulan penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Seri Putra, Kajang, malam tadi aktif menyasarkan rumah berhampiran lebuh raya sebelum melakukan samun bersenjata menggunakan pistol dan parang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kumpulan terbabit dipercayai memakai topeng muka dan sarung tangan bagi menyembunyikan identiti ketika melakukan jenayah.
“Mereka juga memilih kawasan yang kurang mempunyai kamera televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa.
“Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan ini ialah Sungai Buloh, Kajang, Bangi, Banting dan beberapa lokasi lain di Selangor selain Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
Menurutnya, suspek juga bertindak agresif dan tidak teragak-agak mencederakan mangsa sekiranya berdepan ancaman.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah seperti kuku kambing, tukul besi, pemutar skru, pemotong besi dan wayar kabel.
“Selain itu, polis turut merampas sepucuk revolver, enam butir peluru, tiga kelongsong peluru dan empat bilah parang,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 46 tahun itu mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan.
Sebelum ini, dua lelaki dipercayai ahli kumpulan samun bersenjata ditembak mati selepas bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dalam kejadian di Jalan Persiaran Seri Putera, Bandar Seri Putera kira-kira jam 9.10 malam tadi.
Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D9 JSJ Bukit Aman menjalankan rondaan cegah samun di sekitar Kajang dan Bangi sebelum terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.
Menurut beliau, polis kemudian mengekori kenderaan itu sejauh kira-kira 500 meter sebelum mengarahkan suspek berhenti.
“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan terus memecut laju sebelum berjaya dipintas di tepi jalan.
“Sebaik dipintas, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis menyebabkan pihak polis terpaksa berbalas tembakan,” ujarnya.
Katanya, kedua-dua suspek maut akibat terkena tembakan dan polis kini sedang mengenal pasti jumlah kes yang mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit selain mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


