DUA lelaki masing-masing didenda RM6,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah memiliki MyKad milik individu lain dalam operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), minggu lalu.
Tertuduh, Shaleh Sintam, 45, dan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mahkamah menjatuhkan denda RM6,000 terhadap Shaleh atau lapan bulan penjara jika gagal membayarnya, manakala Muhammad Al-Mujib didenda RM5,000 atau tujuh bulan penjara jika ingkar.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan milik individu lain sebagai dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa JPN Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi pada 3 Julai lalu di dua rumah di Kampung Pantai Balok, Jalan Kuantan-Kemaman.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Fahkrol Anuar Sani dan Mohd Hazri Mohd Hairoudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Berdasarkan fakta kes, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Pahang menjalankan operasi khas di lokasi berkenaan sebelum membuat pemeriksaan terhadap kedua-dua tertuduh secara berasingan.
Semasa pemeriksaan, mereka menyerahkan kad pengenalan yang didakwa milik sendiri, namun semakan mendapati imej serta cap jari kedua-dua tertuduh tidak sepadan dengan maklumat pada MyKad berkenaan.
Susulan itu, mereka ditahan dan dibawa ke JPN Pahang bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, Shaleh yang berasal dari Sabah merayu dikenakan hukuman minimum dengan alasan hanya bekerja sebagai buruh berpendapatan RM1,500 sebulan.
Beliau turut mendakwa dirinya seorang warganegara Malaysia, namun tidak pernah memohon MyKad dan hanya memiliki salinan sijil kelahiran.
Muhammad Al-Mujib pula memaklumkan dia tidak bekerja dan bergantung kepada ibunya yang bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan dokumen pengenalan diri milik individu lain.






