Kekangan kewangan punca LPT3 dibina secara kerjasama awam-swasta – Ahmad Maslan

KEKANGAN kewangan kerajaan menjadi faktor utama pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) menerusi kerjasama awam-swasta (PPP).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pendekatan itu diambil bagi membolehkan peruntukan kerajaan disalurkan kepada projek pembangunan lain yang turut diberikan keutamaan.

“Jika Kerajaan Persekutuan mempunyai duit yang cukup, tidak perlulah ada tol dan juga penswastaan. Namun apabila dana terhad dan terdapat projek lain yang perlu diberi keutamaan, kita perlu mengagihkan peruntukan yang ada bagi melaksanakan projek-projek berkenaan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai rasional pelaksanaan LPT3 secara PPP walaupun tuntutan bayaran balik kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) oleh Kerajaan Terengganu masih belum diselesaikan.

Beliau menjelaskan, projek LPT3 akan dilaksanakan secara penswastaan menerusi proses bidaan Request for Proposal (RFP), dengan keseluruhan kos pembinaan ditanggung syarikat yang berjaya dipilih.

“Kadar tol bagi LPT3 belum dimuktamadkan. Ia akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor, termasuk kos pembinaan, kos pembiayaan, kos operasi dan penyenggaraan, unjuran trafik serta tempoh konsesi.

“Anggaran kadar tol sekitar RM80 yang pernah dibangkitkan adalah berdasarkan kajian pada 2022 dan bukan kadar yang telah dimuktamadkan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan Statement of Needs (SON) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, bagi penyediaan dokumen RFP yang disasarkan dimuktamadkan tahun ini sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Menurutnya, LPT3 sepanjang 122 kilometer akan dibina menggunakan model pembiayaan Bina, Kendali dan Pindah (BOT), yang menghubungkan Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, dengan Tunjong, Kota Bharu.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini turut memberi tumpuan untuk memastikan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) disiapkan mengikut jadual.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img