Dua lelaki direman tujuh hari kes samun bersenjata kapak

DUA lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun bersenjatakan kapak yang mencederakan pemilik kedai membaiki jam di Jalan Anson, Georgetown, semalam.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 42 dan 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi, lapor Buletin TV3.

Dalam kejadian petang semalam, kedua-dua suspek datang ke kedai berkenaan menaiki sebuah kereta sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam premis.

Suspek yang bersenjatakan kapak kemudian mengarahkan isteri mangsa menyerahkan wang, namun mangsa berusia 59 tahun cuba menghalang tindakan itu.

Susulan itu, berlaku pergelutan menyebabkan tangan kanan mangsa cedera sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Volkswagen berwarna putih yang dipandu rakannya.

Mangsa yang cedera dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan kedua-dua suspek pada jam 12.20 tengah malam tadi di sebuah kawasan perumahan di Straits Quay, Georgetown.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here