Dua lelaki ditahan ketika leka curi kabel TM

POLIS menahan dua lelaki di bawah pengaruh dadah yang sedang leka memotong kabel milik Telekom Malaysia (TM) yang cuba dicuri di Jalan Sakeh, Lorong Mansur di Muar awal pagi ini.

Tindakan kedua-dua suspek berusia 30 dan 58 tahun yang mencurigakan itu bagaimanapun disedari orang awam kira-kira jam 4.29 pagi dan segera menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sebaik sahaja dihubungi polis segera menghantar anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar yang sedang bertugas untuk membuat pemeriksaan.

“Pasukan URB Zon Alfa IPD Muar tiba di lokasi dan berjaya menahan kedua-dua lelaki terbabit serta membuat rampasan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga, beberapa keratan kabel TM, alat pemotong kabel serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

“Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, selain boleh dikenakan pengawasan sehingga tiga tahun.

Raiz Mukhliz memberitahu, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan penglibatan mereka dalam kes kecurian kabel lain di daerah ini.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat pantas yang disalurkan sehingga membolehkan tindakan segera diambil bagi membanteras jenayah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img