DUA lelaki warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan menggunakan senjata susulan perselisihan faham berkaitan parkir kenderaan di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pergaduhan membabitkan beberapa lelaki berlaku di hadapan sebuah kedai MyNews berhampiran Maxim D’Perc Residence.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan dua lelaki berkenaan kira-kira jam 5 pagi.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia lewat 20-an dan awal 30-an itu ditahan di kawasan Jalan 9, Taman Len Seng.
“Kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka sebelum dibawa mendapatkan rawatan.
“Semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati beberapa individu lain turut terbabit dalam kejadian itu, manakala senjata digunakan dipercayai batang besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dan direman selama empat hari bermula 20 hingga 23 November ini bagi membantu siasatan.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.





