MAHKAMAH Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki yang membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan dan meliwat mangsa di sebuah rumah di Ara Damansara, Petaling Jaya, lima tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Panel berkenaan mengetepikan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 41, pada 21 November tahun lalu.
Ketika membacakan penghakiman, Hayatul Akmal berkata, kecederaan dialami mangsa menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang ditanggung bayi itu selepas dianiaya individu yang diberi kepercayaan untuk menjaganya.
Beliau berkata, hukuman penjara 30 tahun sebelum ini nyata tidak memadai berdasarkan laporan bedah siasat dan bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan sperma responden ditemukan pada dubur serta rektum mangsa.
“Kecederaan parah dan lebam pada bahagian dubur serta bibir membuktikan bayi lelaki berusia sembilan bulan itu diliwat sebelum maut akibat lemas (smothering) kerana saluran pernafasannya terhalang,” katanya, lapor BH.
Hayatul Akmal berkata, panel turut mengambil kira perbuatan responden menyalahgunakan kepercayaan keluarga mangsa serta melakukan jenayah yang menunjukkan keganasan melampau dan tiada perikemanusiaan.
“Oleh itu, rayuan perayu (pendakwaan) dibenarkan. Hukuman Hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan diganti dengan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Badruldin didakwa membunuh bayi lelaki itu dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (meliwat) di sebuah unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Ara Damansara, Petaling Jaya antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang, pada 27 April 2021.





