DUA pelajar tingkatan tiga maut digilis lori selepas terjatuh daripada motosikal yang dinaiki mereka di Jalan Kuala Kangsar dekat Tasek di Ipoh, Perak hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian jam 12.57 tengah hari itu, Nur Aleesya Alya Mohd Hasrizal dan Nur Alisa Maisara Aidil Azhar, kedua-duanya berusia 15 tahun sedang menaiki sebuah motosikal dari Klebang menghala ke arah Ipoh.
“Ketika tiba di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan menyebabkan keduanya terjatuh ke atas permukaan jalan di lorong sebelah.
“Pada masa yang sama, sebuah lori yang sedang bergerak (dari arah belakang) di laluan tersebut tidak sempat mengelak, lalu menggilis kedua-dua mangsa yang berada di atas jalan, motosikal yang ditunggang mangsa menggelongsor dan terperosok ke bawah sebuah lagi lori yang sedang berhenti di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kedua-dua lori tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat kedua-dua pelajar itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


